Wednesday, July 8, 2009

HARU BIRU

Sayu menerpa laju
di lembah kotor berbau
muda-mudanya kuyu
tua-tuanya layu.

Populasi nafsi-nafsi
kesibukan hidup paksi hari
keluar pagi pulangnya malam
hanya untuk beras segengam.

Cacat dan lemah terpaksa berproduksi
jika tidak mati sendiri.

Hidup nekad kepalang mati
fikir cemerlang tak sempat lagi
bujur lalu melintang patah
sana-sini menjilat menipu merasuah.

Di hujung usaha perut mesti mengening
najis bersepah kepala tak pening.

Agama dipaku ke tikar sembahyang
di medan kehidupan, tuhan tidak berbayang
hukum mereka hukum durjana
siapa pemodal dialah raja.

Menyelesai ekonomi hanya dengan pengeluaran
masalah agihan tidak dihiraukan
biarlah harga sahaja yang menentukan

Jika kau tak kuat dan cekap
kau umpama kucing kurap
pinggan makan kau adalah tong-tong sampah
kaki-kaki lima dan kolong-kolong jembatanlah
kamar tidur kau yang terlanjang dan terdedah.

Apa yang dikata ‘civil society’
hanyalah pemanis mulut saudagar janji
apa yang kau alami persis ‘evil society’.

Mana pengembala dan pembela?
Ah, merekalah paling tak berguna!

Zahir mereka berbulu ayam
batin? Wallahu’alam
cuma bau mereka hangit merangsang
ala-ala bau simusang.

Sayu menerpa laju
di lembah kotor berbau
muda-mudanya kuyu
tua-tuanya layu.

Di lembah itu
tidak ku tahu takdir penentu.

وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِڪۡرِى فَإِنَّ لَهُ ۥ مَعِيشَةً۬ ضَنكً۬ا
وَنَحۡشُرُهُ ۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ أَعۡمَىٰ

(TA HA 124)

Fikrul Mustanir
Mei 2009
http://fikru1mustanir.wordpress.com

No comments: